Taip Bahan Carian

Sabtu, 14 Jun 2014

Lebih Rela Dijangkiti HIV Berbanding Diabetes

Penghidap HIV mampu jalani kehidupan normal, 
pesakit kencing manis jangka hayat kurang 10 tahun

SEORANG doktor di United Kingdom (UK) lebih rela dirinya dijangkiti HIV berbanding menghidap diabetes jenis 2. Mengapa? Ini kerana katanya, seseorang pesakit dapat hidup dengan virus terbabit, namun tidak diabetes.

"Diabetes jenis 2 mengurangkan jangka hayat seseorang kepada 10 tahun," kata Dr Max Pemberton, yang menulis dalam akhbar The Spectator di United Kingdom (UK).

Pemberton berkata: "Sebagai seorang doktor, saya boleh beritahu anda, dari segi percakapan perubatan, saya lebih rela mendapat HIV daripada diabetes.

"Ketika kenyataan ini mungkin kedengaran mengejutkan atau memeranjatkan, fakta membuktikannya; prognosis (satu pendapat berdasarkan pengalaman perubatan terhadap satu keadaan penyakit) bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 2 adalah lebih teruk berbanding mereka yang menghidap HIV," katanya.

Jelasnya, ketika ini, amat jarang seseorang menemui ajal disebabkan HIV di UK, malah ramai pesakit HIV menjalani kehidupan dan memiliki jangka hayat sama seperti mereka yang tidak dijangkiti virus berkenaan, dengan syarat mereka mendapatkan rawatan dan penjagaan sebaiknya.


HIV boleh dirawat

HIV boleh dirawat dengan jayanya menggunakan terapi antiretroviral sangat aktif (Haart), yang menghalang perkembangan jangkitan disebabkan patogen yang membunuh pesakit HIV/AIDS tidak dirawat.
Berbeza keadaannya dengan penghidap diabetes jenis 2.

Beliau yang bertugas sebagai pakar psikiatri dalam Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) berkata, individu dengan diabetes jenis 2 mempunyai risiko lebih dua kali ganda untuk diserang stok berbanding mereka yang sihat.

Katanya, penghidap juga empat kali ganda berisiko mendapat sakit jantung dan 20 peratus hingga 30 peratus pesakit mengalami masalah buah pinggang yang menjurus kepada perlunya mendapat dialisis secara kerap.

Tambahnya lagi diabetes juga boleh menyebabkan penghidapnya buta, mendapat ulser kaki dan pemotongan anggota tubuh.

"Ramai orang percaya diabetes jenis 2 boleh dirawat dengan mudah menggunakan ubat, namun ini bukan isunya. Penyakit ini berkembang secara berperingkat atau dengan kata lain pesakit biasanya terpaksa memerlukan suntikan insulin dan mereka mengalami kesan lebih serius akibatnya," katanya.

Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, mengakui diabetes jenis 2 mengurangkan jangka hayat pesakit di antara lima tahun hingga 10 tahun selain berisiko menghidap sakit jantung, diserang strok, kerosakan saraf, dipotong anggota tubuh, buta dan kegagalan buah pinggang.


Kematian awal

"Pesakit juga perlu sedar mereka berisiko berdepan kematian awal berikutan risiko yang dikaitkan dengan penyakit kencing manis. Antara 75 peratus hingga 80 peratus penghidap berdepan risiko kematian awal tanpa disedari," katanya pada pelancaran Forxiga (Dapagliflozin), baru-baru ini.

Forxiga adalah ubat baru yang digunakan untuk merawat diabetes jenis 2 dan dibangunkan Bristol-Myers Squibb dengan kerjasama AstraZeneca.

Di Amerika Selatan dan Tengah, jumlah pesakit diabetes jenis 2 ini adalah 24 juta orang, di rantau Asia Pasifik, China misalnya menyumbang satu peratus pesakit atau 138 juta orang manakala di Asia Tenggara, 72 juta orang.

"Di seluruh dunia, ada 382 juta penghidap diabetes dan ia adalah ancaman yang semakin meningkat," katanya.

Menjelang tahun 2035, katanya, dianggarkan 592 juta penduduk menghidap diabetes jenis 2 dengan usia penghidap antara 40 tahun hingga 59 tahun.



Penghidap muda

Situasi di Malaysia, katanya, semakin ramai golongan muda berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetes jenis 2 tanpa disedari.

"Kekerapan insiden kematian di Malaysia adalah 20.8 peratus berdasarkan data tahun 2011, iaitu antara tertinggi di dunia dan ini amat membimbangkan," katanya sambil menambah 25 peratus atau seorang bagi setiap empat golongan dewasa berpotensi mendapat diabetes pada bila-bila masa.

Katanya, ukuran indeks jisim tubuh (BMI) adalah petunjuk mudah untuk menentukan sama ada seseorang itu menghidap diabetes jenis 2. Lebih tinggi BMI, lebih tinggi risiko menghidap penyakit ini.

"Lebih tepat mengukur individu yang menghidap diabetes dengan obesit. Cara mudah adalah dengan mengukur ukur lilit pinggang - bagi lelaki tidak melebihi 89 sentimeter (35 inci) manakala wanita tidak melebihi 76 sentimeter (30 inci),” katanya.

Tambahnya, ketika ini, jumlah pesakit diabetes meningkat di negara membangun berbanding negara maju disebabkan faktor gaya hidup.

“Semakin ramai dikategorikan sebagai obes disebabkan gaya hidup mewah dan makan secara berlebihan sekali gus menjadikan mereka golongan yang berisiko tinggi menghidap diabetes jenis 2,” katanya.

Sumber

Khamis, 12 Jun 2014

Kilang Bihun Cap Masjid Masih Beroperasi


KUALA LUMPUR - 'Bihun Istimewa' cap masjid keluaran sebuah kilang di sini tidak mempunyai sijil halal yang sah, demikian menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, produk bihun itu mengguna pakai logo halal sendiri pada pembungkusan dan ia bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kenyataan itu dikeluarkan di laman web Jakim berikutan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun istimewa yang kotor dan jijik di laman sosial, hari ini.
 
Mengenai kicap 'ABC Saus Manis' yang didakwa menggunakan botol arak, Hakimah memaklumkan produk tersebut adalah tiruan dan tidak menggunakan logo halal Jakim.
 
"Produk tersebut dikilangkan semula di kilang yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berdasarkan aduan orang awam," katanya.
 
Hakimah berkata, produk 'ABC Saus Manis' yang asli dikilangkan di Indonesia dan mempunyai pengesahan halal daripada badan pensijilan halal Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang diiktiraf Jakim.

Kilang Bihun Cap Masjid Jalan Ipoh Kuala Lumpur











VIDEO Kilang Bihun Cap Masjid Jalan Ipoh


Kilang bihun di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, masih beroperasi walaupun arahan tutup sudah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).





Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...