Taip Bahan Carian

Jumaat, 10 Jun 2016

ebook Panduan Berhenti Merokok



Merokok masih lagi menjadi isu utama dalam kalangan masyarakat Malaysia yang sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ter­utama Kementerian Kesihatan.

Dalam laporan Bernama 31 Mei lalu, Kementerian Kesihatan menganggarkan 20,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi merokok dan sehingga kini terdapat kira-kira 5 juta perokok di Malaysia. Sebahagian besarnya golongan lelaki manakala golongan wanita pula telah menunjukkan peningkatan (1 peratus pada tahun 2011 kepada 1.4 peratus pada tahun 2015).

Laporan sama turut memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa langkah bagi memperkukuhkan perkhidmatan berhenti merokok melalui kerjasama di antara sektor awam dan swasta. Pengukuhan perkhidmatan berhenti me­rokok ini dikenali dengan Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit atau mQuit Services yang bertujuan meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan ini kepada masyarakat.

Dalam pada itu berdasarkan hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, trend merokok di seluruh dunia pada tahun 2010 telah mendapati 50 orang perokok baharu akan lahir pada setiap hari dan pada masa sama 5,200 orang perokok mati setiap tahun. Hanya dua peratus sahaja perokok yang berjaya berhenti (setiap tahun).

Justeru, sambutan Hari Tanpa Tembakau pada 31 Mei lalu bertemakan Elak Terpedaya; Merokok Membahayakan Kesihatan adalah langkah proaktif daripada pihak kerajaan dalam usaha menangani gejala merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurut Islam, hukum me­rokok adalah haram. Keputusan itu dibuat menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 23 Mac 1995. Muzakarah tersebut telah membincangkan isu merokok dan telah bersetuju untuk memutuskan merokok adalah haram berdasarkan pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

Keputusan itu dibuat dengan merujuk firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:“Dan belanjakanlah apa yang ada pada kamu kerana agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Selain itu, kebinasaan yang dibawa bukan sahaja kepada perokok itu sendiri malah turut melibatkan persekitarannya termasuk orang sekeliling yang tidak merokok.

Persoalannya, mengapakah Islam begitu bersungguh-sungguh mengharamkan perbuatan merokok ini?
Pertama, merokok sangat memudaratkan kesihatan. Menurut kajian yang dilakukan oleh American Cancer Society, me­rokok adalah antara penyumbang kepada penyakit buta dan pengurangan tempoh hayat manusia. Wanita merokok yang berusia 35 tahun ke atas pula mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami serangan jantung.

Sesungguhnya perbuatan memudaratkan diri amat ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda:“Tidak boleh melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri ataupun orang lain.”
Merokok juga mengundang kepada pembaziran. Wang yang sepatutnya dimanfaatkan ke arah kebaikan telah dibelanjakan untuk membeli rokok yang jelas mendatangkan kesan buruk kepada pelakunya. Tidak dapat dinafikan merokok merupakan salah satu pembaziran harta yang amat jelas.

Firman Allah dalam surah al-Israk ayat 27 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Lantaran itu, jauhilah tabiat merokok kerana perbuatan tersebut jelas membawa kepada pembaziran yang nyata.

Mahu tidak mahu tabiat buruk ini perlu dijauhi dan dihindari oleh setiap orang. Mahukah kita melihat anak-anak yang meningkat dewasa berjinak-jinak dengan rokok? Dikhuatiri mereka pada masa akan datang cuba menghisap bahan baharu yang lebih mengkhayalkan seperti dadah.

Oleh itu, semua perokok sama ada tegar, biasa atau sosial perlu menghentikan segera tabiat buruk tersebut. Apa kata jadikan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai medan untuk kita berhenti merokok. Mudah-mudahan kita akan menjadi hamba Allah SWT yang lebih beriman dan bertakwa.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/rencana/forum/ramadan-medan-henti-tabiat-merokok-1.340223


Panduan Cara Berhenti Merokok

Yakinkan diri
Anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.

Langkah 1 : Bersihkan
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada di dalam rumah, dalam kereta dan tempat kerja

Langkah 2 : Buat nota peringatan dan galakan
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang seorang bukan perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan ke dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3 : Lakukan sahaja
Untuk kebanyakan orang cara yang paling berkesan ialah dengan cara berhenti mengejut atau cara ‘cold turkey’. Pada hari yang anda telah tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaliknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4 : Tumpukan perhatian pada hari yang dilalui
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok yang telah anda mulakan. Berikan kepujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya
mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5 : Fikir positif
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda demikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakana “terima kasih, saya tidak merokok”. Ingatlah bahawa anda telah membuat suatu pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6 : Dapatkan sokongan
Berikan peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah kerjasama rakan-rakan anda
yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7 : Melawan keinginan untuk merokok
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiap kali
anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok yang bakal
mendatang pada hari-hari berikutnya. Lama-kelamaan keinginan untuk merokok ini akan hilang buat selama-lamanya.

Amalkan 12M Untuk Berhenti Merokok

Melengah
Lengahkan tindak-balas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok.
Seandainya rokok ada ditangan, jangan dinyalakan terus, tunggu sekurang-kurang 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda “nanti” setiap kali anda ingin merokok.

Menarik nafas panjang
Tariklah nafas panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.

Minuman air
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air berkafin seperti kopi atau teh, kerana minuman ini biasanya membuatkan anda ingin merokok selepas meminumnya.

Membuat sesuatu
Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya bersiar-siar makan angin, telefon kawan, membaca buku, bermain muzik, membuat silang kata, berkebun dan
sebagainya.

Mengunyah sesuatu
Mengunyah sesuatu seperti gum, lobak merah, buah epal dan sebagainya. Elakkan sesuatu yang manis seperti gula-gula.

Mandi atau basuh tangan
Kalau berada dirumah, mandilah seberapa kerap atau basuh tangan setiap kali terasa hendak merokok.
Melakukan senaman regangan Lakukan senaman regangan setiap kali anda merasa mengantuk kerana tidak merokok.

Memohon Doa
Mohonlah doa agar tuhan kuatkan azam dan usaha anda untuk berhenti merokok berjaya

DOWNLOAD PERCUMA
PANDUAN BERHENTI MEROKOK



Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...