Taip Bahan Carian

Selasa, 31 Januari 2017

Bahaya Kosmetik Tiruan



  • Jangan menggunakan krim putihkan kulit yang mengandungi Hydroquinone kerana Hydroquinone boleh menyebabkan ochronosisi iaitu sejenis penyakit kulit.
  • Krim pemutih yang mengandungi bahan merkuri amat merbahaya bagi wanita mengandung.

Kosmetik Tiruan

“BERHATI-hati ketika membeli barangan kosmetik dan lihat dahulu bahan kandungannya kerana sekiranya tersalah beli ia boleh memudaratkan kulit muka anda.”

Itulah pesanan Dr. Faizal ketika diajukan persoalan mengenai lambakan kosmetik tiruan yang terdapat di pasaran baru-baru ini.

Katanya, produk tiruan adalah berbahaya kerana kita tidak mengetahui bahan yang terdapat dalam produk-produk berkenaan. Walaupun terdapat label tetapi kemungkinan besar ia adalah salah kerana produk-produk ini tidak dipantau oleh kementerian yang bertanggungjawab. Selalunya terdapat bahan-bahan kimia yang berbahaya untuk kesihatan seperti merkuri, steroid, bahan produk industri minyak seperti tar dan sebagainya.

Berbicara lanjut mengenai hal tersebut, menurut Dr. Faizal, kulit yang mengalami masalah selepas menggunakan produk-produk tiruan ini boleh dirawat tetapi ia akan mengambil masa dan bergantung pada kulit individu tersebut.

“Dalam sesetengah kes ada penggu­na yang kulitnya tidak mengalami masalah setelah menggunakan produk tiruan ini.

“Tetapi ada kulit yang terjejas teruk dan ini memerlukan rawatan daripada doktor pakar untuk melihat sejauh mana kerosakan yang dihadapi.

“Masa pemulihan atau penyembuhan juga bergantung pada kulit individu tersebut kerana kulit kita semua adalah berbeza dan ia juga bergantung kepada faktor-faktor lain,” katanya.

Jelas beliau lagi, para pengguna yang mengalami masalah kulit selepas penggunaan produk kosmetik tiruan dinasihatkan agar berhenti menggunakannya serta-merta dan segeralah berjumpa dengan doktor.
Jika seseorang mengalami reaksi kulit akibat bahan kosmetik, perkara pertama perlu dibuat ialah berhenti daripada menggunakan kosmetik berkenaan, gunakan pelembap (moisturizer) sahaja apabila di dalam rumah dan kurangkan keluar ketika matahari terik. Jika perlu keluar gunakan krim penghalang cahaya matahari dan pakai topi untuk melindungi kulit daripada sinaran matahari.

“Jika anda mendapati terdapat kesan akibat penggunaan kosmetik tersebut, elakkan daripada menggunakan sebarang bahan kosmetik termasuk penyegar (toner) dan krim asas selagi kulit masih merah dan sensitif.

“Seterusnya, anda perlu mendapat rawatan daripada doktor yang bertauliah jika selepas beberapa hari kulit masih tidak beransur pulih.”

Dr. Faizal turut berkongsi panduan cara memilih produk yang selamat. Katanya, selain tidak membeli produk tiruan, orang ramai digalakkan mengurangkan pengunaan warna rambut hitam yang tahan lama kerana ia mengandungi bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser.

“Saya juga berharap orang ramai tidak menggunakan krim putihkan kulit yang mengandungi Hydroquinone melainkan dengan pemantauan doktor. Hydroquinone boleh menyebabkan ochronosisi iaitu sejenis penyakit kulit.

“Jangan guna krim pemutih kulit yang bahan-bahannya tidak dilabel dengan tepat. Terdapat krim-krim pemutih yang mengandungi bahan merkuri yang beracun dan berbahaya terutama kepada wanita yang mengandung,” katanya.

Tambah beliau, paling penting ialah pengguna sendiri perlu membaca dan menyelidik bahan-bahan yang terdapat di dalam produk kosmetik yang digunakan. Terdapat banyak laman web yang memberi maklumat tentang bahan-bahan berbahaya yang perlu dielakkan.

Bagi mereka yang mempunyai kulit wajah sensitif, lebih baik menggunakan bahan kosmetik yang kurang “canggih”. Maknanya kembali kepada bahan semula jadi.

Berikut merupakan tip penjagaan wajah kulit sensitif;

  1. Perlu menggunakan krim pelindung cahaya matahari atau losen yang mengandungi SPF sekurang-kurangnya 30 setiap kali keluar rumah.
  2. Pelembap yang sesuai untuk kulit tanpa bauan “fragrance”.
  3. Kurangkan penggunaan skrub kulit, sabun atau pembersih wajah yang meninggalkan kesan kulit kering.
  4. Kurangkan penggunaan produk kosmetik yang mengandungi alkohol.
  5. Bersihkan kulit daripada segala produk sebelum tidur.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/cantik-murah-yang-mudarat-1.437880


EVERSOFT
100% Organic Tomato Micellar Cleansing Water

Tiada ulasan:

Kongsi Artikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...